Isnin, April 27, 2009

Orang "Senang" dan Kewajipannya.


Antara keindahan ajaran Islam itu ialah ia sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Pekara yang sesuai dengan fitrah semulajadi manusia ni banyak. Tapi kali ni kita akan bicarakan pasal ingin jadi kaya atau senang.

Islam membenarkan kita mencari kekayaan sebanyak mana sekalipun. Ingin jadi kaya tu adalah memang menjadi tabiat manusia. Tak ada manusia yang tak ingin jadi kaya. Kalau ada pun, yang mempunyi masaalah mental. Kekadang orang gila pun berangan jadi kaya. Keinginan menjadi kaya tu tak bercanggah dengan ajaran Islam.

Disini lah indahnya ajaran Islam itu. Ia tak bercanggah dengan fitrah semulajadi manusia. Setiap muslim boleh berusaha mencari kekayaan dengan cara berniaga, bertani secara komersial, menternak besar-besaran dan sebagainya. Asalkan dengan jalan yang lurus, dan tidak melanggar hukum.

Ertinya dalam mencari kekayaan itu kenalah jaga syariat agar usaha kita itu bukannya hanya mendapat keuntungan bahkan juga diberi pahala oleh Allah Taala yang Maha Pemurah. Setelah kita berusaha bersungguh-sungguh dan ditakdirkan kita berjaya menjadi kaya, millionair dan billionair…maka kita ada mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan.

Dengan kita menjadi kaya ini, maka bertambahlah tanggungjawab kita. Itu kena ingat. Bukan kaya sesaja je. Mengikut ajaran Islam, sesiapa yang ada kelebihan dari orang lain, samaada harta benda atau wang ringgit (Dollar lagi buleh!),mereka mempunyi kewajipan dan tanggungjawab kepada masyarakat dengan harta kekayaan mereka itu, berbanding orang lain yang kurang berada atau tidak memiliki harta yang lebih.

Diantara kewajipan dan tanggungjawab orang kaya kepada Masyarakat ialah:

1.Wajib : Mereka wajib mengeluarkan zakat harta apabila cukup nisab dan sampai haulnya iaitu setiap setahun sekali sebanyak 2.5%..(Sikit je tu kan, kalau kita jutawan)

2.Kewajipan yang aradhi(mendatang): Iaitu mereka wajib pula menunaikan tanggungjawab dari kekayaan yang ada untuk keperluan semasa yang mendatang atau yang terdesak seperti:
a) Jika negara diserang musuh, wajib mereka menggunakan wang mereka untuk membeli senjata atau keperluan perang lebih-lebih lagi jika diminta oleh pemerintah.
b) Negara berhadapan dengan kemelesetan ekonomi. Wajib mereka membantu negara.
c) Keperluan pendidikan atau perhubungan untuk kepentingan umum.
d) Yang lebih kecil dari diatas, seperti memberi pinjaman kepada yang memerlukan. Contohnya si mamat anaknya sakit. Perlukan perbelanjaan perubatan di Hospital. Wajib mereka menolong. Jangan sampai si mamat pinjam kat Along.

3. Apabila apa yang pemerintah tidak berkemampuan menyediakan, mereka berkewajipan dan bertanggungjawab melengkapkan atau mencukupkan keperluan itu. Mereka tak boleh menganggap itu hanya tanggungjawab pemerintah semata-mata. Contohnya satu taman tak de surau. Maka wajip le orang-orang yang terlebih mampu ni, mengeluarkan modal sikit untuk mendirikan surau.

4. Jika pemerintah mengarahkan agar mereka membuat sesuatu pekara demi kepentingan umum kerana negara sudah tak mampu lagi. Wajib mereka tunaikan.

5. Mereka yang enggan mematuhi pemerintah untuk memberikan hartanya demi kepentingan umum, maka pemerintah dibolehkan memaksanya dan mereka mesti memberinya. (Tak terjadi le buat masa ni kat negara kita. Pasal pemerintah pun tak berapa Islamik).

6. Kewajipan yang lain, wajib mereka ni merendah diri kepada orang ramai. Kenapa? Kerana orang kaya kalau mereka merendah diri, ini sangat memberi kesan pada orang ramai. Orang ramai akan insaf dan malu. Maka mudahlah sedikit mereka dididik kepada kebaikan. Mereka yang disegani seperti para pemerintah, orang besar-besar, orang kaya, kalau mereka merendah diri, mudahlah orang ramai didisplinkan dan dididik kerana orang ramai mudah meniru dan mengikut orang-orang yang dihormati dan disegani.

Selain itu Islam menganjurkan umatnya menjadi pemurah. Bukan setakat sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah bangunan, bahan-bahan bacaan ilmiah yang berfaedah, kenderaan dan lain-lain lagi agar lebih senang dan cepat masyarakat Islam terbangun.

Hasilnya kelak, yang sedang maju akan bertambah maju. Yang kurang maju akan menjadi maju. Yang kurang dapat dicukupkan. Yang koyak dapat ditampal. Yang lemah dapat dikuatkan. Yang tak lengkap dapat disempurnakan. Yang tidak mampu dapat hidup bersama-sama yang mampu. Agar yang sedih ceria semula. Yang terbiar dapat dibela. Juga agar fakir miskin tidak terus sengsara, anak-anak yatim terbela dan janda-janda dapat dijaga.

Sifat pemurah dikalangan orang-orang kaya dan berada akan menyebabkan masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam akan cepat maju dan kasih sayang akan terjalin. Hubungan orang kaya dan miskin akan semakin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Akan ujud perpaduan dan kerjasama. Tiada lagi jurang yang dalam. Yang pentingnya, kadar jenayah dapat dikurangkan. Apa perlunya orang merompak, mencuri, meragut kalau hidup tak terdesak.( Kalau kerja tu memang hobi, kita kena tarbiah cara lain). Maka semua orang akan hidup dalam aman dan bahagia serta harmoni.

Itu kesan daripada sifat pemurah dan tawadhuknya orang-orang kaya. Banyak masaalah masyarakat dapat diselesaikan. Sebab tu sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan disenangi juga oleh semua orang.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesunggunya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik” (Al Baqarah:195)

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan dekat dengan Syurga, Tetapi jauh dari Neraka.”

Read more...

Jumaat, April 24, 2009

Tombo Ati

Tombo Ati...kata orang jawa. Orang melayu kata..ubat hati. So ari jumaat ni baik le kita mengubat hati. Lapangkan dada segarkan mata untuk dengar khutubah kejap lagi..

Read more...

Isnin, April 20, 2009

Kategori Perpaduan


1. Perpaduan yang terpaksa

la datang secara mendadak dan tiba-tiba. Perpaduan secara ini hanya sementara, payah kekal lama. Apabila satu bangsa atau kaum yang berbalah diserang oleh musuhnya, terpaksa mereka bersatu untuk menghadapinya. Setelah selesai menghadapi musuh dan ancaman sudah tidak ada, perpecahan dan perbalahan berlaku semula.

2. Perpaduan yang dipaksa

Perpaduan yang diakta dan diundang-undangkan oleh negara kerana kepentingan nasional atau kepentingan bersama, demi keselamatan dan keharmonian bangsa. Kalau tidak risikonya berat dan terpaksa ditanggung bersama. Perpaduan ini hanya sebagai etika sahaja. Terpaksa berlakon dan berpura-pura kerana takut dihukum oleh negara.

3. Perpaduan bersifat ideologi

Ideologi yang diserapkan dan dididik semenjak di sekolah oleh negara hingga rakyat jadi fanatik, seolah-olah ideologi itu sudah jadi aqidah, agama atau jiwa bangsa.

Perpaduan ini agak kuat sedikit daripada yang di atas tetapi berbahaya. Kerana apabila rakyat sudah fanatik dengan sesuatu ideologi, mereka akan memusuhi lain-lain bangsa yang tidak sama ideologi dengan mereka.

Perpaduan seperti ini boleh mengundang banyak musuh seperti berlakunya perang dunia yang kedua. Pihak Nazi, Bersekutu dan Komunis berperang kerana ideologi. Akhirnya, dunia yang musnah dibuatnya. Perpaduan begini tidak ada gunanya.

Ketiga-tiga bentuk perpaduan di atas masih kasar atau masih ada border. la masih menggunakan otak dan kemudian ditubi-tubi. la masih di tahap akal sahaja. la belum bersifat rohani atau kejiwaan.

Perpaduan ini juga banyak terdedah kepada sifat-sifat mazmumah atau perangai jahat manusia. Sifat mazmumah atau sifat jahat yang bersarang di hati manusia adalah punca manusia bergaduh dan berbalah. Sifat-sifat ini memusnahkan kasih sayang, tolak ansur, maaf bermaafan, lapang dada, timbang rasa dan sifat suka mendahulukan orang lain. Sifat sombong, hasad dengki, mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi, berdendam, pemarah, tamak, bakhil, zalim, khianatdan lain-lain boleh memecahbelahkan manusia dan menyebabkan krisis, pergaduhan dan perbalahan.

Ketiga-tiga bentuk perpaduan yang disebutkan di atas tidak mampu membuang mazmumah dari hati-hati manusia, dan ia juga tidak mampu melenyapkan perangai jahat manusia. lanya masih secara kasar dan bersifat luaran. Oleh itu, sekuat manapun perpaduan, ia tetap akan pecah akibat dilanda oleh pukulan-pukulan mazmumah ini. Kalaupun ada bersifat kejiwaan, ianya adalah hasil lobi-melobi, ditubi-tubi dan dipaksa-paksa.

4. Perpaduan ikatan akal dan jiwa

Iaitu perpaduan kerana takutkan dan cintakan Allah serta selaraskan akal fikiran. Bila takutkan Tuhan, manusia takut hendak membuat salah kepada sesama manusia. Maka tidak berlaku pergaduhan dan perbalahan. Bila cintakan Allah, automatik timbul rasa cinta sesama manusia. Akan datang rasa perikemanusiaan. Maka lahirlah sikap bertolong bantu, bela-membela dan bekerjasama.

Inilah perpaduan yang lebih kuat, sejati lagi hakiki. Iaitu perpaduan yang lebih bersifat sejagat, global dan seni. la bersifat maknawi dan rohani. la bersifat akal dan jiwa. Inilah perpaduan yang boleh membunuh sifat-sifat mazmumah yang memecahbelahkan manusia sekalipun yang dalam satu keluarga. la boleh mengikat kaum dan bangsa, yang berbeza warna kulit, bahasa, budaya dan agama. la adalah kepunyaan bersama seluruh manusia. Tuhan adalah kepunyaan bersama seluruh manusia tidak kira apa kaum, agama dan bangsa. Tuhan, sama-sama punya.

Kalau ikut Allah, tidak ada hasad dengki, tidak ada sombong, tidak ada tamak dan lain-lain sifat yang memecah belah-kan manusia. Rasa takut dan cinta pada Allah adalah kepunyaan bersama. Maka Tuhan menjadi pengikat antara semua kaum dan bangsa. Walaupun manusia itu mungkin berlainan agama dan kepercayaan, rasa bertuhan dan rasa mempunyai Allah itu adalah fitrah semula jadi. Rasa cinta dan takut Allah juga fitrah. Kalau bagi orang Islam, tauhid itu perlu dibina, bagi orang bukan Islam pula, fitrah bertuhan ini perlu disegarkan.

Ikatan ideologi adalah kepunyaan sesuatu kelompok sahaja, bukan kepunyaan bersama. Bahkan ia hanyalah ciptaan manusia. Begitu juga ikatan perundangan dan akta. Ianya atas dasar terpaksa. Tidak semuanya kena ataupun terlibat sama.

” Wahai manusia sejagat. Sekiranya kita inginkan perpaduan sesama manusia, tidak kira kaum, bangsa dan agama, ilmu ini mesti ada. Supaya apabila berusaha untuk mencapai perpaduan, ada panduan dan kaedahnya. Namun, diingatkan untuk mencapai perpaduan, tidak semudah yang disangka. Tidak cukup dengan slogan, syarahan dan undang-undang sahaja.

Selagi sifat jahat dan mazmumah masih bersarang dalam diri manusia, selagi itulah manusia susah hendak bersatu. Bukan sahaja dalam satu kaum atau bangsa, bahkan juga dalam satu keluarga, satu ibu dan satu bapa. Kalaupun ideologi sudah sama, ertinya fikiran sudah sekata dan sehala, mazmumah pula pemecahnya.
Mazmumah lebih banyak memecahbelahkan manusia, sekalipun satu keluarga. Dalam satu agama pun kalau mazmumah bermaharajalela, belum boleh bersatu secara kukuh. Mazmumah boleh ditumpaskan hanya dengan rasa cinta dan takutkan Allah. Sekadar ideologi, tidak akan sampai ke mana. Soal mazmumah inilah yang jarang kaum dan bangsa di dunia memikirkannya.”

Read more...

Musuh Berpanjangan


Assalamualaikum semua, Syukur kita masih di sini dalam keadaan sihat , lapang, tenang
Ya Allah tolonglah kami agar sentiasa mensyukuriMu…
Dalam dakwah kita diajak menyembah ALLAH tapi…
Dalam menyembah Allah, manusia mempunyai musuh batin yaitu syaitan dan hawa nafsu. Syaitan dan hawa nafsu selalu mengajak manusia untuk tidak menyembah Allah.
Tentu ada sebahagian hati kecil kita berkata, kalau benarlah manusia itu patut menyembah Allah, mengapa hati kecil kita selama ini tidak mengajak menyembah Allah, tidak mengingatkan kita menyembah Allah. Sebabnya, selama ini di dalam diri manusia ada 2 musuh batin yang senantiasa mempengaruhi hati dan akal manusia, yaitu syaitan dan hawa nafsu, yang selalu menggoda manusia, membawa manusia pada jalan kesesatan.

Dalam Al Quran disebutkan :
"Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang sangat nyata" Al Baqarah : 168
"Sesungguhnya nafsu itu selalu mengajak manusia pada kejahatan" Yusuf : 53

Kerana dalam hati manusia itu ada 2 musuh batin, maka hati manusia terus lalai dan derhaka kepada Allah. Kalau takdirnya syaitan dan hawa nafsu tidak ada, maka tentulah manusia akan kenal dengan Allah, cinta dengan Allah, bahkan tenggelam dalam kecintaan pada Allah karena fitrah manusia sejak sebelum ditiupkan roh telah mengenal Allah, Allah yang patut disembah dan dibesarkan.
Selain itu kalau kita kaji dengan hati dan akal yang jernih, kita juga membaca sejarah maka bukanlah sudah menjadi sunnatullah, sudah ditakdirkan oleh Allah, manusia di mana saja berada, di peringkat mana pun, apa yang Allah takdirkan, walau bagaimana pun hebatnya, kita tidak dapat mengelak dari bala bencana, ataupun dari perkara yang tidak disukai oleh manusia.
Bala bencana, ujian dan musibah itu ditimpakan kepada semua orang baik orang yang muslim maupun orang yang kafir, baik orang yang taat maupun yang derhaka. Misalnya siapakah manusia yang dapat mengelakkan diri dari miskin, kalau tak miskin harta, miskin jiwa. Miskin jiwa lebih parah sebab manusia selalu merasa tak cukup. Kerana iman lemah walaupun wang banyak selalu merasa kurang. Lebih parah lagi sudahlah miskin harta, miskin jiwa.
Kalaulah manusia itu dapat mengelak dari miskin, maka dapatkah mengelakkan diri dari sakit. Bahkan doktor pun banyak yang ditimpa penyakit. Inilah keadilan Allah, sakit ditimpakan pada semua orang. Sakit sebagai utusan dari Allah untuk mengingatkan manusia. Kalau tidak miskin, tidak sakit, dapatkan manusia mengelak dari fitnah dan umpatan orang. Manusia tidak dapat mengelak dari kesusahan yang ditimpakan oleh manusia lain, bahkan banyak yang kena bunuh.

Selain itu dapatkah manusia mengelak dari bencana alam, angin, badai, petir, dll. Atau apakah kita dapat mengelak dari kematian ibu dan ayah, isteri, dan anak-anak. Tak ada manusia yang mau, tapi Allah timpakan juga.
Tidak ada manusia yang dapat melepaskan diri dari ujian hidup. Semua manusia kena, yang kafir kena, orang Islam pun kena. Yang sembah Allah kena, yang tidak sembah Allah pun kena. Yang taat kena, yang durhaka pun kena uji.
Kalaulah bala bencana itu rata, semua manusia merasakan, maka tentu lebih baik jadi orang mukmin yang diuji daripada orang kafir diuji juga. Lebih baik orang yang menyembah Allah diuji daripada orang derhaka diuji juga.

Cuba perhatikan!
Dalam pengalaman kita, yang kena uji itu semua yang baik-baik, yang menyembah Allah, yang patuh kepada Allah sedangkan yang kafir tak pernah sakit, tak pernah miskin, tak pernah disusahkan orang. Tapi dalam pengalaman kita, semua orang merasakan.
Kerana itu lebih baik kita ditimpa bencana dalam menyembah Allah, sebab orang mukmin yang sejati, kalau ditimpa sedikit kesusahan dari Allah, maka kalau ia ada sedikit dosa, maka kesusahan itu adalah sebagai penghapusan dosa.
Allah hukum di dunia sebelum dihukum di akhirat, sebab hukum di akhirat lebih berat.
Tapi kalau orang mukmin itu tidak berdosa dan dia redha dengan ujian, maka itu merupakan peningkatan derajat dan pangkat dari Allah.
Kalau orang itu derhaka terlebih lagi kafir, maka ujian itu merupakan kutukan Allah di dunia dan akhirat.

Di dunia sudah ditimpakan neraka dunia, di akhirat akan ditimpakan neraka yang lebih berat lagi, boleh jadi kekal abadi.
Jadi tidak ada alasan untuk kita tidak menyembah Allah. Kalau kita katakan kalau sembah Allah nanti miskin, maka kita tidak menyembah Allah pun jadi miskin.
Kalau kita baca berita-berita bunuh diri, yang kena tembak setiap hari ada, yang kecelakaan jalan raya, maka bukan saja orang yang taat terkena, yang tak kenal Allah pun kena.
Cuma kerana akal dan hati kita tak dapat menilai, sudah diganggu oleh syaitan dan hawa nafsu, maka kita sudah tidak kenal dan menyembah Allah. Padahal kalau kita dapat menilai, betapa bala itu diratakan kepada semua manusia, maka mengapa kita takut susah, takut miskin kerana menyembah Allah.

Pengabdian tanpa permusuhan !
Mana mungkin Pengabdian dengan mujahadah dan Jihad berpanjangan

Read more...

Damaikan Jiwa Kami.


Assalamualaikum , apa khabar ?

Bersama lagi kali ini , apa yang saudara lihat hari ini ialah :-

penyakit-penyakit putus asa, kecewa, resah gelisah, penderitaan jiwa, kacau balau fikiran, rasa rendah diri (inferiority complex), kesunyian, kekosongan hati, rasa keseorangan (loneliness), ketegangan perasaan dan berbagai-bagai lagi bentuk sakit jiwa. Dan sedang berleluasa juga di dalam masyarakat Islam hari ini penyakit-penyakit hasad dengki, bakhil, gila dunia, pendendam, cepat marah, jahat sangka, sombong, ria, ujub dan lain-lain.

Walaupun sakitnya tidak nampak oleh mata kasar kita, namun siapa yang bisa membantah kenyataan ini? Bahwa bilangan orang-orang yang menderita sakit atau krisis jiwa di saat ini lebih ramai daripada bilangan penderita-penderita sakit fisik yang ada di rumah-rumah sakit. Tetapi aneh, kepakaran dan keintelektualan tidak begitu serius dipikirkan untuk pengobatan kepada pesakit batin ini, seperti seriusnya mereka berusaha terhadap pengobatan fisik lahiriah manusia.

Apakah kita tidak sedar bahawa pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain itu tidak pernah bunuh diri dan membunuh orang lain? Tetapi pesakit-pesakit batin, pesakit jiwa, kekosongan, rendah diri, putus asa, hasad dengki, dendam, pemarah, buruk sangka dan lain-lain itu akan memungkinkan manusia membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain?

Demikian satu bukti bahwa penyakit-penyakit batin itu sebenarnya memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih serius daripada rawatan kepada penyakit-penyakit lahir. Bukan saja kerana penyakit batin lebih menyeksakan individu pesakit, tetapi ia bakal memungkinkan kusut dan kocar-kacirnya sesebuah masyarakat. Telah datang Nabi Muhammad SAW ke tengah manusia. Baginda melihat kekusutan dan kemungkaran yang sedang meracuni kehidupan masyarakatnya.

Seorang diri baginda bangun dan bekerja untuk menyelamatkan manusia. Institusi pertama yang baginda bangunkan ialah masjid, satu tempat di mana manusia membersihkan hatinya, melembutkan hatinya, menenangkan hatinya, melapangkan dadanya, membebaskan diri dari ikatan dunianya, iaitu dengan membesarkan Tuhannya melalui sembahyang dan ibadah-ibadah lain. Rasulullah memandang keselamatan ,manusia ialah pada keselamatan hatinya (rohnya) bukan jasad lahirnya. Sebab itu baginda bekerja mengubah dan mengobat hati mereka dan baginda berjaya.


Kita kini sedang melihat kekusutan dalam masyarakat kita sama sebagaimana apa yang disaksikan oleh baginda Rasul lebih 1400 tahun dulu. Kalau baginda telah berjaya terhadap masyarakatnya, mengapa kita tidak mengikut jejak langkahnya? Kita ubati dulu mazmumah dan krisis jiwa kita, orang-orang kita dan masyarakat kita. Kita ketengahkan pada masyarakat pengertian hidup yang hakiki yang dapat mengembalikan manusia pada fitrahnya. Kita contohkan satu formula yang menjamin kebahagiaan hati dan keselamatannya. Kita perjuangkan kehidupan “sunnah” yang semuanya membawa manusia kepada syurga dunia dan akhirat.

Mana ada selain Islam satu cara hidup yang dapat menjadikan kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian, kesakitan, keseorangan, kematian orang yang dikasihi, kegagalan dan dengan segala bentuk ujian.

Mana ada selain Islam cara hidup yang mengikat hati antara suami dengan isteri, anak dengan ibu bapa, pengikut dengan pemimpin, pekerja dengan majikan?

Mana ada selain Islam cara hidup yang mengajar kita berkasih-sayang, bertenggang rasa, pemurah, berbaik sangka dan tolong menolong?

Mana ada selain Islam cara hidup yang membangkitkan cinta agung manusia pada Penciptanya hingga kerana itu manusia mengorbankan hidupnya untuk Tuhannya dan menanti kematian sebagai penantian seorang kekasih kepada pertemuan dengan kekasihnya?

Islam mengajak kita melihat hati kita, mengenalinya dan mengobat sakitnya. Apabila hati sudah terobat, saudara akan temui hati-hati saudara penuh dengan “cahaya” kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan. Dan itulah syurga sementara sebelum kita bertemu Allah untuk menerima syurga yang kekal abadi.

Antara bentuk-bentuk akhlak dengan Allah ialah:

Mengenal Allah dengan yakin;
Merasa kehebatan Allah;
Merasa gerun dengan Neraka Allah;
Merasa senantiasa diawasi oleh Allah;
Merasa hina diri dan malu dengan Allah;
Meredhai setiap takdir dan ketentuan Allah;
Sabar di atas sebarang ujian Allah;
Mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah;
Menyintai Allah;
Merasa takut pada Allah atas kecuaian dan dosa-dosa kita;
Tawakal kepada Allah;
Merasa harap pada rahmat Allah;
Rindu pada Allah;
Senantiasa mengingati Allah;
Rindu pada syurga Allah kerana ingin bertemu dengan-Nya.

Moga bertambah dekat kita denganNya hari ini
wassalam

Read more...

Kategori Umat Islam.

Al Quran dan Hadis banyak menyebut tentang orang-orang Islam yang zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Kalau kita teliti betul-betul, kita akan dapati bahawa orang-orang yang dimaksudkan itu boleh dibahagi-bahagikan ke dalam beberapa kategori. Kalau kita kaji orang-orang yang dalam berbagai kategori ini, mungkin kita akan dapat faham kedudukan orang bertaqwa berbanding dengan orang-orang di kategori-kategori yang lain. Kita pun dapat mengukur di tahap mana diri kita, sama ada kita sudah selamat atau belum.

Kategori-kategori tersebut ialah:
1. Orang yang abai 2. Orang yang cuai 3. Orang yang lalai 4. Orang yang bertaqwa

ORANG YANG ABAI

Ertinya orang yang mengabaikan Allah dan syariat Allah. Dia itu Islam mungkin kerana datuk neneknya Islam dan emak ayahnya Islam. Maka secara automatik, dia pun Islam. Namun dia tidak fikir tentang Allah dan tidak fikir tentang syariat Tuhan. Dia tidak fikir tentang ibadah dan dia tidak fikir tentang halal dan haram. Allah ada atau tidak, tidak penting baginya. Allah ada atau tidak ada, sama sahaja baginya.

Begitulah rasa hati orang yang mengabaikan Allah .Dia hidup mengikut gaya dan corak yang disukainya. Tidak mengikut syariat yang ditetapkan oleh Islam. Lebih tepat lagi, dia mengikut hawa nafsunya. Kalau kita tanya apa agamanya, dia kata dia Islam. Tetapi Islam itu tidak nampak pada dirinya, peribadi dan tingkah lakunya. Islamnya hanya berdasarkan keturunan dan warisan.

ORANG YANG CUAI

Ini baik sedikit dari orang yang abai. Orang cuai ini, dia rasa bertuhan tetapi di waktu-waktu yang tertentu sahaja terutama di waktu dia susah, di waktu dia sakit dan di waktu dia diuji. Di waktu-waktu itu dia mengeluh, “Wahai Tuhan!!” Waktu senang, dia langsung tidak ingat Allah. Ibadahnya mengikut keadaan. Apabila dia tidak sibuk dia beribadah ala kadar. Apabila dia sibuk atau dia tidak ada mood, dia tidak sembahyang dan tidak puasa. Begitu juga dengan perkara halal haram. Ada masa dan dalam sesetengah hal, dia tidak buat yang haram. Pada masa dan dalam sesetengah hal yang lain pula, dia selamba sahaja buat yang haram.

Dengan kata-kata yang lain, orang yang cuai ini, dia buat sedikit tetapi banyak yang dia tidak buat. Sebahagian kecil dia buat, sebahagian besar dia tinggalkan. Atau dia buat suruhan agama bermusim- musim. Dia tidak rasa menyesal dan tidak rasa bersalah atau berdosa di atas semua itu.

ORANG YANG LALAI

Orang ini, soal lahiriahnya termasuk ibadahnya sangat baik dan tidak boleh dipertikaikan. Semuanya selesai, semuanya beres. Kalau dipandang secara lahir, orang akan kata dia orang agama, orang baik, ahli ibadah. Segala rukun Islam dibuatnya, ditambah pula dengan yang sunat-sunat. Dia buat umrah, baca Quran,wirid dan zikir. Tasbih sentiasa di tangan. Orang ramai sekampung memujinya. Mereka kata, “Baik orang itu.” Amalan agamanya yang lahir beres. Syariat lahirnya selesai. Yang tidak selesai dan yang tidak beres ialah hatinya.

Semakin banyak beribadah, dia semakin tamak, semakin bakhil, semakin hilang rasa takut dengan Allah, semakin tidak ada rasa hamba dan dia rasa selamat dengan ibadahnya yang banyak itu. Dia tertipu dengan sembahyang dan ibadah-ibadahnya yang lain. Orang melihat dia seperti beragama tetapi hakikatnya dia adalah orang yang lalai. Manusia kata dia baik tetapi Allah kata dia tidak baik sebab hatinya tidak takut dan tidak cinta dengan Allah. Dia masih megah, angkuh, cinta dunia dan gila puji walaupun sembahyangnya banyak, puasanya banyak, baca Quran, wirid dan zikirnya banyak. Allah kata dia orang yang lalai. Walaupun dia tidak lalai dengan ibadah lahiriah tetapi hatinya lalai dengan Allah.

Hakikat ini membuatkan kita cemas. Orang yang dianggap beragama pun tidak selamat kerana faktor lalai. Dan lalai itu bukan perkara lahir tetapi perkara hati. Tidak takut Allah , tidak takut dengan dosa, itu termasuk lalai walaupun sembahyang banyak, puasa banyak, wirid, zikir dan baca Quran banyak.

ORANG YANG BERTAQWA

Orang yang bertaqwa pula dia sempat buat ibadah yang wajib sahaja. Ibadah-ibadah sunat kurang. Itupun ibadah sunat yang dibuat hanya yang besar-besar sahaja. Yang kecil-kecil tidak dibuat. Kalau dibandingkan ibadahnya dengan ibadah orang yang lalai atau ahli abid, sangat jauh bezanya. Banyak kurangnya. Tetapi dia takut dan cinta dengan Allah . Rasa bertuhannya tebal. Hatinya sentiasa rasa tidak selesai dengan Allah .

Dia tidak rasa dirinya baik malahan dia rasa dirinya orang yang paling jahat, hina dan tidak berguna. Inilah orang yang bertaqwa.Walaupun dia buat ibadah yang wajib sahaja dan yang sunat kurang, namun dengan Allah hatinya sentiasa bergelombang dan bergelora macam air laut yang tidak pernah tenang. Dia kurang buat ibadah-ibadah sunat yang kecil-kecil sebab terlalu sibuk, terlalu letih dan tidak ada masa kerana terlalu banyak membantu dan menolong manusia serta membuat kerja-kerja masyarakat. Masanya banyak dimanfaatkan untuk orang ramai.

Ibadah hablumminallahnya kurang tetapi yang hablumminannasnya banyak. Ibadah ini lebih besar pahalanya dari ibadah-ibadah sunat. Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain.” Memberi manfaat kepada manusia lain dengan tenaga, ilmu, minda, kuasa, wang ringgit dan lain-lain itu adalah lebih besar. Buktinya orang yang banyak ibadah pun tidak sanggup hendak berbakti, berkhidmat atau berkorban apa yang ada padanya untuk manfaat orang lain.

Orang bertaqwa tidak membuat dosa. Kalau dia sedar dia terbuat dosa, sehari suntuk jiwanya akan terseksa. Dia rasa menyesal, menderita dan dukacita. Dia akan buat ibadah-ibadah tambahan yang lain untuk menutup dan menebus dosanya itu. Begitulah kategori orang-orang Islam berdasarkan apa yang disebut dalam Quran dan Hadis sebagai zalim, fasik, soleh dan bertaqwa. Mengikut kategori-kategori ini, barulah kita tahu dan sedar tentang letak duduk orang bertaqwa berbanding orang yang abai, cuai dan lalai. Umat Islam sekarang ini hina-dina di mana-mana, tidak dibantu, tidak dilindung dan tidak dibela oleh Allah kerana orang Islam yang bertaqwa terlalu sedikit jumlahnya. Ia masih kumpulan minoriti.

Yang terbanyak ialah orang Islam yang abai, diikuti orang Islam yang cuai dan lalai. Allah tidak membantu dan tidak membela orang Islam yang abai, cuai dan lalai ini. Allah hanya akan membantu orang Islam yang bertaqwa sahaja. Di Akhirat nanti, hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan selamat.

Read more...

Mukadimah

Ruangan ni aku tujukan untuk diri sendiri supaya aku lebih muhasabah diri dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Catatan disini kebanyakannya dipetik dari nota usrah dan perbincangan dengan Yang Berbahagia Ustaz Asnil. Semoga kalau ada kebaikan dari apa yang ditulis disini, dapatlah kita manafaatkan bersama...Wasalam!!

Read more...

Ketibaan Tetamu

  © Green islamic Template by hati-tagas.blogspot.com 2009