Isnin, Mei 18, 2009

Bagaimana Kita Membaiki Diri

Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari musibah atau malapetaka atau kesusahan. Tidak kira samada manusia itu mukmin atau kufur. Itu juga merupakan bukti yang sangat jelas dan nyata bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Bagi manusia kufur sepatutnya mereka insaf dan sedar bahawa Allah SWT itu wujud dan berkuasa ke atas sekelian alam ini. Bagi orang beriman pula akan bertambah keimanannya kerana menyedari bahawa manusia ini lemah dan mesti tunduk kepada Allah SWT samada secara terpaksa mahupun sukarela.

Musibah atau malapetaka akan menambah dan meningkatkan iman orang mukmin kerana mereka semakin dapat melihat dengan hatinya betapa Allah SWT telah menzahirkan kekuasaanNya yang tidak mampu ditolak oleh sebarang makhluk termasuk manusia. Bertambah keinsafan, bertambah sabar, bertambah redha terhadap ketentuan Allah SWT dan akan bertambah pula rasa kehambaan seperti rasa takut, rasa malu, rasa lemah, rasa hina, rasa dhaif, rasa cemas, rasa bimbang, dan rasa harap. Para mukmin juga akan menyedari bahawa musibah yang Allah SWT datangkan itu merupakan peringatan langsung daripada Allah SWT. Peringatan kepada manusia bahawa mereka sudah terlalu derhaka, lalai, banyak dosa, maksiat dan berbuat mungkar. Peringatan itu agar segera membaiki diri,bertaubat dan membuat perubahan. Itu baru kesengsaraan di dunia sernentara, betapalah andainya dihadapkan dengan azab hakiki iaitu neraka di akhirat.

Ujian dan musibah yang Allah SWT timpakan kepada para mukmin ada dua maksud:
Pertama:
Sebagai penghapusan dosa sekiranya dihadapi dengan sabar.

Kedua:
Bagi golongan yang tidak berdosa, ujian dan musibah itu sebagai meninggikan darjat di sisi Allah SWT. Hanya sebagai beradab dan menepati sebagai hamba walaupun tidak melakukan dosa, maka perlu dirasakan berdosa juga.

Setelah jelas kepada kita bahawa tiada siapa yang dapat menghindari dari ditimpa musibah, bukankah lebih baik menjadi orang mukmin yang ditimpa musibah berbanding menjadi kafir yang juga tidak dapat lari dari musibah. Banyak keterangan dari hadis-hadis Rasulullah SAW yang membawa erti iaitu musibah biar kecil sekalipun berpunca dari dosa yang dilakukan manusia. Ertinya setiap dosa, maksiat dan kemungkaran merupakan anak kunci terbukanya pintu musibah dan bencana yang Allah turunkan kepada manusia itu sendiri.

Umpama Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Tiada seseorang itu ditimpa musibah di hadapannya, di belakangnya, di kanannya, di kirinya, di atasnya dan di bawahnya melainkan berpunca dari dosa yang dilakukannnya."

Apabila sesuatu musibah, bencana atau malapetaka itu didatangkan oleh Allah SWT yang sifatnya terlalu berat, menggerunkan, menyakit dan amat menyukarkan manusia, berpanjangan dan buntu dari penyelesaian, itu tandanya penduduk sesuatu tempat itu sudah terlalu melupai Allah SWT, banyak kezaliman, penindasan, dosa, maksiat dan kemungkaran sudah berlaku tanpa kawalan. Malah mereka berbangga pula dengan kemungkaran. Maksiat tidak disekat malah dipromosi dan digalakkan. Terutama sekali apabila pemimpinnya sangat zalim dan menindas, para ulamanya jahat dan mabuk dunia, orang kayanya bakhil dan perampas, orang miskinnya tidak sabar dan laiai, maka kemurkaan Allah SWT akan turun secara merata yang dirasai oleh semua golongan. Inilah punca sebenar mengapa kini tidak putus-putus umat Islam mengalami kesengsaraan dari berbagai bencana. Silih berganti, berpanjangan dan ada yang menggerunkan seperti kebuluran, peperangan, kemarau dan wabak penyakit. Bukan sahaja musibah itu menimbulkan berbagai-bagai kesusahan kepada manusia, tetapi juga buntu dalam mendapatkan jalan penyelesaiannya. Berbagai kaedah dicuba dan diiringi oleh kegagalan.

Ambil satu contoh, di negara kita yang dilanda gejala negatif. Bukan sahaja yang terlibat, semua pihak turut merasa bahangnya dirundung kegelisahan dan keresahan. Berbagai kaedah pula telah dicuba yang berakhir dengan kegagalan. Sepatutnya umat Islam kembali kepada kaedah yang tepat iatu ajaran Islam itu sendiri. Tidak usah `mengimpot` kaedah dari sumber lain terutamanya barat yang terbukti masyarakatnya telah rosak dan hancur. Sebagaimana musibah itu sendiri berpunca dari dosa dan maksiat. Maka untuk menghindari musibah berpanjangan dan terlalu mencengkam kehidupan maka hendaklah bersungguh-sungguh membaiki diri. Membaiki diri itu hendaklah dalam beberapa aspek penting.

Di antaranya:
1. Hendaklah benar-benar merasai diri itu adalah hamba Allah SWT .
Rasa hamba itu mestilah tidak lekang dari jiwa sehingga dengan itu dapat pula merasai bahawa Allah SWT itu Maha Agung, Maha Besar, Maha Hebat, Maha Mendengar, Maha Melihat dan memiliki segaia sifat-sifat kesempumaan. Segala rasa-rasa itu hendaklah sampai ke tahap merasai takut hendak berbuat maksiat dan mungkar. Umpamanya seseorang itu merasai Allah SWT Maha mengetahui lubuk hatinya. Ertinya dia akan sedar bahawa bukan sahaja perkara lahiriah, malah bisikan atau lintasan hatinyapun Allah SWT mengetahui. Orang seumpama ini bukan sahaja gerak geri lahirnya dikawal dari dosa malah lintasan hatinya pun diawasi agar tidak terdorong kepada perkara jahat.

2. Rasa kehambaan yang mendalam,yang dijiwai dan dihayati itu sangat penting yang sekaligus akan menjiwai pula rasa keTuhanan yang tinggi,ini akan menjadikan seseorang itu bersih dari dosa terutamanya dosa batin atau penyakit-penyakit hati yang berupa mazmumah. Mazmumah itu ibarat racun yang sangat merosakkan. Mazmumah itulah yang paling utama membawa berbagai angkara, kerosakan, krisis, peperangan, penindasan di dalam kehidupan manusia. Sifat-sfat mazmumah ini tidak akan hilang atau padam atau terbakar musnah kecuali seseorang itu memiliki rasa kehambaan yang mendalam dan menjiwai rasa keTuhanan.

Ini adalah agenda utama dan penting bagi seluruh umat Islam; Aspek inilah yang sangat terabai dan dipinggirkan oleh umat Islam. Natijahnya umat Islam sentiasa dalam kemurkaan Allah SWT. Yakni bukan sahaja jauh dari bantuan dan pertolongan Allah SWT malah sebaliknya kemurkaan Allah SWT yang ditimpakan kepada umat Islam. Bukan sahaja tidak memperolehi kejayaan dan kemenangan, sebaliknya kehinaan di mana saja dan berpanjangan silih berganti.

3. Perbaiki sembahyang dan sempurnakan lahir dan batin. Sembahyang itu sendiri mestilah berperanan. Memanglah menunaikan sembahyang itu adalah wajib. Namun ianya mestilah berkesan dan berperanan bagi seorang hamba itu benar-benar menghadap Allah SWT dengan sepenuh hati. Tempat di mana seorang hamba itu benar-benar meletakkan dirinya sebagai sehina-hina makhuk. Menghina diri di hadapan Allah SWT yang Maha Agung. Penuh dengan rasa malu, menyerah dan mengharap sehingga dengan itu terbakar segala mazmumah.

Kalau seseorang itu di saat di mana dia benar-benar sepenuhnya menghadapkan hatinya kepada Allah SWT, pun lalai dan leka tidak dapat merasai kehambaan dan membakar mazmumah maka di luar sembahyang lebih sukar lagi. Maka di luar sembahyang dalam mengendalikan urusan kehidupan sudah tentulah penuh didorong oleh nafsu rakus dan jahat. Sembahyang yang sempuma lahir batin itu ialah yang dapat memahami dan menghayati setiap lafaz atau bacaan. Yang dengan itu apa yang difahami dari sembahyang itu dapat membina dan membentuk peribadi yang benar-benar mulia. Kedudukan mereka dekat dengan Allah SWT, dan layak mendapat bantuan dan pertolongan Allah SWT.

Di dalam sembahyang, mereka sangat membesar dan mengagungkan Allah SWT. Di luar sembahyang juga tidak lekang dari membesarkan Allah SWT, dengan hidup bersyariat, menjauhi mungkar dan maksiat, akhlak dan disiplinnya tinggi dan luhur. Allah SWT menaungi mereka. Dan semua orang merasa puas dan seronok, selamat dan sejahtera bernaung di bawah mereka. Orang yang mencapai taraf ini saja yang layak memimpin umat kerana mereka adil kepada diri mereka sendiri iaitu berjaya mengembalikan rohnya kenal dan takut kepada Allah SWT, mengembalikan dirinya ,mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Keadilan mereka itu pula akan melimpah dan merata kepada umat yang lain. Mereka inilah yang dikatakan orang soleh, orang Ashabul Yamin (golongan kanan), Al Muflihun (yang mendapat kemenangan). Mereka yang dimaksudkan oleh Allah SWT dengan firmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba hambaNya yang soleh" ' Siapakah orang soleh itu? Salah satu cirinya ialah dalam firman Allah:
Maksudnya: "Beruntunglah (menanglah/berjayalah) orang mukmin, iaitu mereka yang di dalam sembahyangnya khusyuk." (Al Mukminun: 1-2)

Mereka jugalah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud:
"Barangsiapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barangsiapa memperbaiki apa yang dirahsiakannya maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya.". (Riwayat AI Hakim)
Bagi umat Islam yang ditimpa musibah silih berganti dan berpanjangan tiada pilihan lain untuk mengatasinya kecuali kembali menghambakan harapan kepada Allah SWT. Caranya pula ialah memperbaiki diri dalam hubungan dengan Allah SWT.,Sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan dosa, kemungkaran, maksiat serta lebih-lebih lagi dosa batin iaitu mazmumah. Selagi Allah SWT tidak sudi memandang kita lebih-lebih lagi berada dalam kemurkaan Allah SWT, biar berbuih mulut meminta melalui doa, atau hitam dahi kerana sujud sembahyang hajat, Allah SWT tidak akan tunaikan permintaan itu.

Read more...

Isnin, Mei 11, 2009

Memahami Jihad Dan Terus Berjihad

Salam, Apa Khabar?

Akhir-akhir ini, jihad telah disalahertikan. Ia sudah dicemari padahal perkataan jihad itu sangat baik dan mulia sebab ia datang dari Allah, dari Rasulullah dan dari ajaran Islam yang sangat cantik, indah dan mulia. Jihad itu kalau dapat dilaksanakan dengan tepat, maka akan lahirlah syiar yang indah dalam kehidupan.

Malangnya sekarang jihad sudah dikotori oleh umat Islam sendiri. Bila dikatakan jihad, yang dibayangkan ialah bunuh orang, tembak dan bom sana sini, serangan berani mati, sabotaj dan lain-lain keganasan lagi sehingga kalau hendak menyebut perkataan jihad pun sudah malu. Ini kerana orang bukan Islam sudah tersalah pandang dengan perkataan jihad.Umat Islam sendirilah yang sudah menyalahertikan jihad itu.

ERTI JIHAD

Orang mengertikan jihad itu sebagai berjuang. Sebenarnya jihad ertinya bukan 'berjuang'. Terpaksalah di sini dibahaskan dan segi lafaz atau bahasanya. Erti jihad yang asal bukannya 'berjuang'. Cuma setelah dirumuskan intipatinya, barulah dikatakan berjuang.

Perkataan jihad itu adalah berasal dari bahasa Arab yaitu dari perkataan jahada, yajhadu, juhdan, atau jandan atau jihaadan. Maksud jahada ialah bersungguh-sungguh menggunakan tenaga. Erti jihad dan segi bahasa pula ialah bersungguh-sungguh yang termampu mungkin mengumpulkan semua kekuatan tenaga baik yang ada dalam diri (akal, roh, jiwa, fizikal) maupun di luar diri (duit, kekayaan, aset dan sebagainya). Itu erti jihad.

Ahli bahasa mengambil intipati dan kesimpulan makna lalu dibuat istilah baru yaitu berjuang. Hingga akhirnya seolah-olah itulah istilah yang tepat bagi jihad. Istilah asalnya sudah tidak diketahui lagi. Maka kita pun ikut terbawa, terpaksa mengikut trend mereka. Jika tidak, bila kita hendak mengajak berjihad, kita terpaksa berkata, "Mari kita bersungguh-sungguh kumpulkan tenaga." Susah hendak dikata. Sebaliknya kalau kita berkata, "Mari kita berjuang," maka orang baru akan faham.

TAKRIF JIHAD
Seterusnya apa pula hubungan erti jihad di atas dengan maksud jihad dalam erti yang kedua. Di sini kita bawa satu cerita sejarah. Pernah dalam satu pertemuan antara Rasulullah dan Sahabat berlakulah dialog yang lebih kurangnya begini:
Sahabat berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, apakah seorang yang berjuang kerana marahkan sesuatu pihak itu dikatakan jihad fisabilillah?"

"Tidak. Itu tidak termasuk jihad fisabilillah." `

" Apakah seorang yang berjuang kerana ingin tunjuk keberanian itu jihad fisabilillah?" tanya Sahabat lagi.

"Tidak," jawab Rasulullah.

" Apakah berjuang fisabilillah itu berjihad kerana bangsa?"

"Bukan."

"Kalau begitu, ya Rasulullah, apa itu jihad fisabilillah?"

"Berjihad fisabilillah itu ialah berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah hingga menjadi tinggi. Jihad itu ialah untuk meninggikan kalimah Allah."

Di sini baru kita faham, ajaran Allah atau ajaran Islam itu adalah dari satu kalimah iaitu: " Asyhadu allaa ilaaha ilallah wa asyhadu anna muhammadar rasulullah." Pintu Islam ialah kalimah syahadah. Maka siapa yang berjuang bagi meninggikan dua kalimah syahadah agar diterima orang, itulah berjuang. Bagi orang yang sudah syahadah, kita berjuang agar mereka mengekalkannya.

Manakala orang yang belum syahadah, kita berjuang agar mereka mengucapkannya, ertinya sampai mereka masuk Islam. Ini baru takrif dari segi perkataan-perkataan, belum dihurai isinya yang lebih mendalam lagi.

ISI JIHAD
Syahadah itu adalah wadah. Ia ibarat bakul. Jadi apa yang kita hendak perjuangkan ialah apa yang ada dalam wadah itu. Kalau tidak ada wadah atau bakul itu, bagaimana pula hendak masukkan barang. Ertinya segala-galanya bertolak dari kalimah syahadah.

Apakah isi bagi dua kalimah syahadah itu? Di sini kita ambil yang terpenting saja yaitu Iman, Islam dan Ihsan. Rupanya dalam bakul dua kalimah syahadah itu, isinya yang terpenting ada tiga yakni iman (aqidah), Islam (syariat) dan ihsan (hakikat atau tasawuf). Jadi umat Islam yang berjuang itu ibarat membawa bakul yang ada tiga benda tadi ke pasar, ke kampung, ke bandar.

"Mari, mari! Belilah apa yang saya bawa ni!!"

Kita berjuang seolah-olah membawa bakul yang berisi iman, Islam dan ihsan itu lalu menjaja-jajakannya. Kita pergi membawa pesan dari Tuhan untuk menyampaikannya kepada manusia secara percuma.

Iman itu pula, ia bukan seketul atau sebiji tetapi ia juga merupakan satu bekas yang di dalamnya mengandungi hal-hal yang berkaitan dengan iman yang merupakan 'paket iman'. Di situ ada keyakinan dan sebagainya.

Bila dikatakan Islam, itulah syariat. Syariat pula tentulah banyak. Ada fardhu ain, fardhu kifayah, wajib dan sunat. Ada pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dakwah, pentadbiran dan lain-lain lagi.

Begitu juga ihsan. Di dalam bakul ihsan itu ada ilmu hakikat dan ilmu rasa. Yakni penghayatan kita pada Allah seperti rasa takut, redha, rasa hamba dan seterusnya.

Jadi orang yang berjuang; keluar dari pagi sampai petang baru pulang; dia membawa bakul maknawi yakni "Laa ilaaha illallah, muhammadur rasulullah". Dalam bakul itu macam-macam pula isinya yang terdiri dan iman, Islam dan ihsan. Kalau hendak ditafsirkan orang berjuang itu, ibarat orang yang berjual ikan dan sayur. Pergi dari rumah ke rumah dan berkata: "Mari beli ikan. Mari beli sayur!" Maka orang yang berjuang pun hakikatnya menjaja juga. "Mari beli iman, Islam dan ihsan!"

Itulah erti jihad atau berjuang di jalan Allah.
Selain itu, ia boleh dianggap berjuang pada jalan syaitan.

Read more...

Ketibaan Tetamu

  © Green islamic Template by hati-tagas.blogspot.com 2009