Isnin, Mei 11, 2009

Memahami Jihad Dan Terus Berjihad

Salam, Apa Khabar?

Akhir-akhir ini, jihad telah disalahertikan. Ia sudah dicemari padahal perkataan jihad itu sangat baik dan mulia sebab ia datang dari Allah, dari Rasulullah dan dari ajaran Islam yang sangat cantik, indah dan mulia. Jihad itu kalau dapat dilaksanakan dengan tepat, maka akan lahirlah syiar yang indah dalam kehidupan.

Malangnya sekarang jihad sudah dikotori oleh umat Islam sendiri. Bila dikatakan jihad, yang dibayangkan ialah bunuh orang, tembak dan bom sana sini, serangan berani mati, sabotaj dan lain-lain keganasan lagi sehingga kalau hendak menyebut perkataan jihad pun sudah malu. Ini kerana orang bukan Islam sudah tersalah pandang dengan perkataan jihad.Umat Islam sendirilah yang sudah menyalahertikan jihad itu.

ERTI JIHAD

Orang mengertikan jihad itu sebagai berjuang. Sebenarnya jihad ertinya bukan 'berjuang'. Terpaksalah di sini dibahaskan dan segi lafaz atau bahasanya. Erti jihad yang asal bukannya 'berjuang'. Cuma setelah dirumuskan intipatinya, barulah dikatakan berjuang.

Perkataan jihad itu adalah berasal dari bahasa Arab yaitu dari perkataan jahada, yajhadu, juhdan, atau jandan atau jihaadan. Maksud jahada ialah bersungguh-sungguh menggunakan tenaga. Erti jihad dan segi bahasa pula ialah bersungguh-sungguh yang termampu mungkin mengumpulkan semua kekuatan tenaga baik yang ada dalam diri (akal, roh, jiwa, fizikal) maupun di luar diri (duit, kekayaan, aset dan sebagainya). Itu erti jihad.

Ahli bahasa mengambil intipati dan kesimpulan makna lalu dibuat istilah baru yaitu berjuang. Hingga akhirnya seolah-olah itulah istilah yang tepat bagi jihad. Istilah asalnya sudah tidak diketahui lagi. Maka kita pun ikut terbawa, terpaksa mengikut trend mereka. Jika tidak, bila kita hendak mengajak berjihad, kita terpaksa berkata, "Mari kita bersungguh-sungguh kumpulkan tenaga." Susah hendak dikata. Sebaliknya kalau kita berkata, "Mari kita berjuang," maka orang baru akan faham.

TAKRIF JIHAD
Seterusnya apa pula hubungan erti jihad di atas dengan maksud jihad dalam erti yang kedua. Di sini kita bawa satu cerita sejarah. Pernah dalam satu pertemuan antara Rasulullah dan Sahabat berlakulah dialog yang lebih kurangnya begini:
Sahabat berkata kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, apakah seorang yang berjuang kerana marahkan sesuatu pihak itu dikatakan jihad fisabilillah?"

"Tidak. Itu tidak termasuk jihad fisabilillah." `

" Apakah seorang yang berjuang kerana ingin tunjuk keberanian itu jihad fisabilillah?" tanya Sahabat lagi.

"Tidak," jawab Rasulullah.

" Apakah berjuang fisabilillah itu berjihad kerana bangsa?"

"Bukan."

"Kalau begitu, ya Rasulullah, apa itu jihad fisabilillah?"

"Berjihad fisabilillah itu ialah berjuang di jalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah hingga menjadi tinggi. Jihad itu ialah untuk meninggikan kalimah Allah."

Di sini baru kita faham, ajaran Allah atau ajaran Islam itu adalah dari satu kalimah iaitu: " Asyhadu allaa ilaaha ilallah wa asyhadu anna muhammadar rasulullah." Pintu Islam ialah kalimah syahadah. Maka siapa yang berjuang bagi meninggikan dua kalimah syahadah agar diterima orang, itulah berjuang. Bagi orang yang sudah syahadah, kita berjuang agar mereka mengekalkannya.

Manakala orang yang belum syahadah, kita berjuang agar mereka mengucapkannya, ertinya sampai mereka masuk Islam. Ini baru takrif dari segi perkataan-perkataan, belum dihurai isinya yang lebih mendalam lagi.

ISI JIHAD
Syahadah itu adalah wadah. Ia ibarat bakul. Jadi apa yang kita hendak perjuangkan ialah apa yang ada dalam wadah itu. Kalau tidak ada wadah atau bakul itu, bagaimana pula hendak masukkan barang. Ertinya segala-galanya bertolak dari kalimah syahadah.

Apakah isi bagi dua kalimah syahadah itu? Di sini kita ambil yang terpenting saja yaitu Iman, Islam dan Ihsan. Rupanya dalam bakul dua kalimah syahadah itu, isinya yang terpenting ada tiga yakni iman (aqidah), Islam (syariat) dan ihsan (hakikat atau tasawuf). Jadi umat Islam yang berjuang itu ibarat membawa bakul yang ada tiga benda tadi ke pasar, ke kampung, ke bandar.

"Mari, mari! Belilah apa yang saya bawa ni!!"

Kita berjuang seolah-olah membawa bakul yang berisi iman, Islam dan ihsan itu lalu menjaja-jajakannya. Kita pergi membawa pesan dari Tuhan untuk menyampaikannya kepada manusia secara percuma.

Iman itu pula, ia bukan seketul atau sebiji tetapi ia juga merupakan satu bekas yang di dalamnya mengandungi hal-hal yang berkaitan dengan iman yang merupakan 'paket iman'. Di situ ada keyakinan dan sebagainya.

Bila dikatakan Islam, itulah syariat. Syariat pula tentulah banyak. Ada fardhu ain, fardhu kifayah, wajib dan sunat. Ada pendidikan, ekonomi, kebudayaan, dakwah, pentadbiran dan lain-lain lagi.

Begitu juga ihsan. Di dalam bakul ihsan itu ada ilmu hakikat dan ilmu rasa. Yakni penghayatan kita pada Allah seperti rasa takut, redha, rasa hamba dan seterusnya.

Jadi orang yang berjuang; keluar dari pagi sampai petang baru pulang; dia membawa bakul maknawi yakni "Laa ilaaha illallah, muhammadur rasulullah". Dalam bakul itu macam-macam pula isinya yang terdiri dan iman, Islam dan ihsan. Kalau hendak ditafsirkan orang berjuang itu, ibarat orang yang berjual ikan dan sayur. Pergi dari rumah ke rumah dan berkata: "Mari beli ikan. Mari beli sayur!" Maka orang yang berjuang pun hakikatnya menjaja juga. "Mari beli iman, Islam dan ihsan!"

Itulah erti jihad atau berjuang di jalan Allah.
Selain itu, ia boleh dianggap berjuang pada jalan syaitan.

1 beri pandangan:

eddie dewanaga Isnin, Mei 18, 2009 5:08:00 PTG  

bro... menghasilkan artikel2 sebegini untuk bacaan kawan2 juga lu sudah berjihad...

dalam 10 yg lu kongsi, jika satu sahaja pun yg berjaya masuk dalam hati kawan2, sudah berjaya jihad ini.

Ketibaan Tetamu

  © Green islamic Template by hati-tagas.blogspot.com 2009